Thursday, May 13, 2010

Kerajaan negeri takutkan penduduk Rumah Hijau Mak Mandin

■PENDUDUK Rumah Hijau Mak Mandin, Butterworth mengeluarkan perabot dari rumah yang dirobohkan.


BUTTERWORTH: Seperti lagak samseng. Itulah yang boleh disimpulkan terhadap cara penduduk Rumah Hijau Mak Mandin di sini yang diarahkan keluar dari rumah mereka oleh kerajaan negeri. Kenyataan itu dilemparkan Ketua Umno Bahagian Bagan, Datuk Latiff Mirasa, terhadap tindakan kerajaan negeri merobohkan dua rumah penduduk di kawasan berkenaan walaupun sudah menyatakan komitmen untuk membantu. Latiff yang menjadi penasihat kepada penduduk, berkata tindakan kerajaan negeri itu seperti samseng dengan menakut-nakutkan penghuni supaya mematuhi arahan berpindah ke Flet Ampang Jajar.

"Dalam pertemuan saya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa Perumahan Kesenian, Wong Hon Wai tiga minggu lalu, mereka cakap akan selesaikan masalah itu dengan memohon bantuan Kerajaan Pusat.

"Itupun selepas saya berkeras bahawa kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) sudah menyediakan pelan pembinaan rumah kos rendah di sini seperti dipersetujui penduduk. Tetapi, lihatlah apa berlaku sekarang.

"Mereka roboh dua rumah yang memberi kesan sampingan antaranya seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menghidap penyakit deman denggi kerana kawasan itu kini menjadi tempat takungan air. Tindakan mereka ini seperti samseng," katanya ketika melawat kawasan perumahan itu.
Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati, ada takungan air di kawasan rumah dirobohkan, sekali gus menjadikan kawasan itu tempat nyamuk Aedes membiak.

Selain itu, sisa kayu dari rumah yang dirobohkan juga tidak dibersihkan, malah masih ada wayar elektrik tergantung yang mungkin akan menyebabkan berlaku renjatan elektrik.

Berikutan masalah itu, penduduk mendesak Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana bersikap lepas tangan.

Desakan itu dibuat selepas Lim menyatakan kepada penduduk bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk yang jelas berbeza ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Hijau Mak Mandin, A Tamilselvam, berkata Lim memaklumkan bahawa penduduk tidak akan dipindahkan ke Flet Ampang Jajar jika pakatan pembangkang memerintah negeri ini.

"Tetapi apabila sudah memerintah, banyak pula alasan diberikan Lim kepada kami. Kami kecewa dengan sikapnya itu dan mahu beliau letak jawatan sebagai Adun supaya seseorang yang lebih berkemampuan dilantik," katanya.

Tamilselvam berkata, pihaknya menemui Lim pada Rabu minggu lalu bagi meminta penjelasan selepas dua buah rumah dirobohkan minggu lalu walaupun kerajaan negeri sudah berjanji untuk membantu penduduk menyelesaikannya.

"Dalam pertemuan dengan Lim dan Wong, mereka menyatakan akan membantu penduduk dengan memohon bantuan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Tetapi sehingga kini, surat memohon peruntukan bagi membina rumah kos rendah di sini masih belum disiapkan. Lebih teruk lagi apabila dua rumah dirobohkan walaupun jalan penyelesaian masih belum ada," katanya.

Source from : Berita Harian

No comments:

Post a Comment