Tuesday, May 11, 2010

Penduduk Rumah Hijau bengang Adun DAP lepas tangan


BUTTERWORTH 9 Mei – Penduduk perkampungan Rumah Hijau, Mak Mandin di sini mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng (gambar) meletakkan jawatan kerana gagal menyelesaikan isu perumahan di kawasan itu.

Menurut mereka, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri itu bersikap ‘lepas tangan’ walaupun sebelum ini berjanji untuk menyelesaikannya ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Hijau, A. Tamilsalvan berkata, Hock Seng sebelum ini pernah berjanji untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk itu apabila mereka diminta berpindah ke Rumah Pangsa Ampang Jajar.

Menurutnya, tindakan Hock Seng itu bagaikan ‘cakap tak serupa bikin’ kerana sebelum ini beliau pernah berjanji untuk membantu penduduk, tetapi apabila ditemui baru-baru ini wakil rakyat DAP itu menolak untuk membuat sebarang rundingan.

”Hock Seng kata dia tak mahu ambil tahu masalah penduduk Rumah Hijau kerana ia di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Wong Hon Wai.

”Kami benar-benar kesal dengan tindakannya itu kerana dia (Hock Seng) yang menabur janji untuk membantu ketika kempen pilihan raya. Kalau masalah rakyat tidak dapat diselesaikan, lebih baik dia letak jawatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Tamilsalvan turut kecewa apabila dua buah rumah penduduk di situ dirobohkan minggu lalu mengakibatkan penghuninya hilang tempat berteduh.

Jelasnya, kontraktor swasta yang datang melakukan kerja meroboh itu mengingkari perjanjian bahawa rumah mereka tidak akan diusik sehingga kerajaan negeri berunding mengenai nasib mereka dengan Kerajaan Pusat.

”Tapi minggu lalu rumah-rumah ini dirobohkan dan sisa runtuhan itu dibiarkan bersepah di tapak rumah itu sehingga membahayakan kanak-kanak.

”Selain itu air yang bertakung di tapak runtuhan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes menyebabkan seorang kanak-kanak diserang demam denggi baru-baru ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Latif melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan Negeri yang seolah-olah menganiayai penduduk di situ.

”Mereka bertindak seperti gangster yang merampas tanah orang lain di sebalik laungan ingin menjaga kebajikan rakyat negeri ini.

”Saya mendesak kerajaan negeri atau kontraktor jangan mengganggu penduduk di sini sehingga rundingan dengan Kerajaan Pusat selesai,” katanya. – Utusan Malaysia


Source from Pemuda Subang

No comments:

Post a Comment